KOTA KINABALU -  PKR akan bertanding merebut enam kerusi Parlimen dan sembilan kerusi Dun di Sabah pada PRU14 9 Mei ini.

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew berkata enam kerusi Parlimen itu ialah Beaufort, Ranau, Tuaran, Putatan, Pensiangan dan Tawau.

Bagi kerusi Dun, parti itu akan bertanding di Inanam, Tempasuk, Kadamaian, Moyog, Karanaan, Matunggong, Tamparuli, Kuala Penyu dan Api-Api.

“Bagaimanapun, calon bagi kerusi Dun Moyog akan diumumkan pada Jumaat ini,” katanya pada pengumuman calon parti itu di sini hari ini.

Liew berkata beliau akan mempertahankan kerusi Dun Api-Api dan bertanding di Tawau bagi merebut kerusi Parlimen kawasan itu.

Parti itu turut mengetengahkan empat calon wanita dan dua calon muda iaitu Chrisnadia Sinam, 35, yang bertanding kerusi Parlimen Tuaran dan Raymond Ahuar, 33, di Parlimen Pensiangan.

Penyandang kerusi Dun Inanam Dr Roland Chia pula memutuskan untuk tidak bertanding. - Bernama