KOTA KINABALU - Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sedang menjalankan kajian bagi menyediakan perkhidmatan rel ke utara dan timur negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.    

Beliau berkata kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan RM1 juta tahun ini untuk membiayai kajian itu.     

"Perancangan untuk menyediakan rel kereta api ke Kudat (utara) dan Sandakan (timur) sudah dalam perancangan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat perkembangan JKNS yang disampaikan Pengurus Besar Melvin V. Majanga, di sini hari ini.    

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata kajian juga bertujuan mengenal pasti peralatan komunikasi yang moden dan sesuai untuk digunakan dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan landasan sedia ada sepanjang 134 kilometer dari Tanjung Aru di sini ke Tenom.    

Katanya kerajaan negeri dalam usaha memodenkan perkhidmatan kereta api di Sabah bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan itu.

"Mengikut rekod JKNS, bilangan penumpang yang menggunakan pengangkutan rel pada tahun lepas ialah sebanyak 494,638 orang dengan jumlah perjalanan sebanyak 6,170.    

"Pada masa sama, JKNS merekodkan 134 pembatalan perkhidmatan yang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh masalah teknikal dan cuaca buruk," katanya.    

Bagaimanapun, Pairin berkata rekod pembatalan itu menunjukkan penurunan ketara berbanding 762 pada 2015 susulan usaha JKNS mengemas kini prosedur penyelenggaraan dan operasi. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.