LAHAD DATU - Seorang pengawal keselamatan lelaki di sebuah ladang di Lahad Datu maut selepas motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di simpang Taman Warisan, Jalan Lahad Datu-Tungku di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata kemalangan pukul 9.20 pagi membabitkan Proton Iswara, Isuzu D-Max dan motosikal Yamaha LC menyebabkan mangsa, Pauly Paidi, 39, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala dan patah kaki kiri.

"Siasatan awal dipercayai penunggang motosikal Yamaha LC terlanggar belakang sebelah kanan Proton Iswara yang berhenti memberi isyarat untuk masuk ke simpang Taman Warisan.

Kemalangan itu menyebabkan motorsikal terbabas ke lorong bertentangan dan  melanggar bahagian hadapan Isuzu D-Max yang dalam perjalanan dari Kampung Long Danau menuju ke bandar Lahad Datu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hamzah berkata, siasatan masih diteruskan dan Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan  Jalan 1987. – Bernama