KOTA KINABALU - Penempatan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Kawasan Keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) akan dikaji semula.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata antara aspek yang akan dilihat ialah bayaran elaun kelengkapan persenjataan serta latihan yang setimpal bagi anggota Rela yang bertugas di kawasan berkenaan.

“Perkara ini perlu diambil perhatian kerana kawasan itu bukan saja berisiko tinggi daripada ancaman tetapi ia kini masih dikuat kuasa dengan arahan perintah berkurung.

“Kita bukan meragui kemampuan anggota Rela tetapi mahu mereka diberikan latihan dan kelengkapan sewajarnya kerana kita tahu kawasan ini berpotensi diserang pengganas pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan bersama Anggota Rela, di Sepanggar di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin dan Pengarah Rela Sabah Mohammad Pauzi Jhumat.

Sementara itu, Mohd Azis berkata pada Pilihan Raya Umum ke-13, kerajaan ketika itu berjanji akan meletakkan lima batalion tentera di Esszone, namun hingga ke hari ini janji tersebut masih belum dilaksanakan.

Beliau berharap berdasarkan keperluan semasa, kerajaan hari ini dapat mempertimbangkan untuk menempatkan batalion tentera di lokasi tersebut. - Bernama