BELURAN - Seramai 272 penduduk di Kampung Muanad 1 dan 2 kini boleh menarik nafas lega apabila bekalan air yang terputus sejak 10 hari lepas kini kembali pulih.

Ia berikutan kerja pembaikan paip pecah di kawasan berhampiran Pekan Beluran telah dapat disiapkan hari ini.

Pegawai Jabatan Bekalan Air Beluran, Richard Lee berkata, faktor yang menyebabkan paip pecah di bawah tanah adalah berpunca daripada pergerakan tanah.

"Kami bertungkus lumus selama tiga hari pertama untuk menggali tanah sedalam sati meter dan kami mengambil keputusan untuk membuat lencongan paip baharu sepanjang 70 meter," katanya ketika ditemui ketika lawatan Anggota Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di kawasan paip pecah itu.

Katanya, pembinaan lencongan paip yang baharu merupakan pembinaan kecemasan yang terpaksa dilakukan untuk membantu penduduk kampung Muanad meneruskan aktiviti harian mereka.

Dalam pada itu,  Ronald  berkata beliau memahami akan kesulitan yang dialami penduduk kampung disebabkan paip pecah dan kerja pembaikan mengambil masa.

Katanya, pihaknya turut membantu menghantar bekalan air menggunakan lori dan bantuan daripada Majlis Daerah Beluran kepada penduduk di kampung terlibat.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Muanad 1, Tijah Pelatung, 42, berkata ketika tiada bekalan air, beliau dan sembilan anaknya menghadapi kesukaran melakukan aktiviti harian di rumah.

Katanya, mereka terpaksa mengambil sumber bekalan air dari sebuah perigi berhampiran untuk aktiviti harian.

Menurutnya untuk memasak menggunakan air minuman yang dibeli.- Bernama