MIRI - Seorang pekerja kilang warga Indonesia maut setelah  motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Perlis 4-1 Kuala Baram, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.35 malam itu, warga emas itu, Kasim Sikki, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lelaki berusia 25 tahun itu tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati pemandu pacuan empat roda dalam perjalanan ke pusat bandar Miri sebelum mangsa tiba-tiba datang dari arah bertentangan masuk ke laluan pemandu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu tersebut tidak sempat mengelak menyebabkan kenderaannya bertembung dengan motosikal mangsa di tempat kejadian, katanya. - Bernama