SANDAKAN – Seorang pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dihukum penjara 18 bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas  didapati  bersalah menerima suapan sebanyak RM5,000, tujuh tahun lalu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, dalam kenyataan hari ini, berkata Hakim Datuk Ishak Bakri memutuskan keputusan itu terhadap Edwin Ajin, 44, serta memerintahkan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Edwin, yang bertugas sebagai Ketua Pejabat JPN Telupid ketika kesalahan dilakukan, didapati bersalah dan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Norsham Saharom bertindak sebagai Pegawai Pendakwa, manakala Edwin diwakili peguam,  Dennis Rantau.

Mahkamah turut menetapkan jaminan RM10,000 terhadap Edwin dengan seorang penjamin tempatan dan membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Seramai 16 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan dengan sebutan pertama kes pada 3 April 2013.

Mengikut kertas pertuduhan, Edwin didakwa memperoleh suapan itu daripada Jamail Sungah  melalui Catherine @ Sarimah Enggoh di Hotel Paris Inn, Jalan Leboh 3, Sandakan, jam 11.30 pagi, 26 Oktober 2010.

Suapan tersebut adalah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Jamail atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan James Kosou yang dikatakan terbabit dalam pengesahan dokumen palsu itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Seorang pemilik bas, hari ini dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM11,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM500 kepada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ahad lalu.
  • TAWAU - Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas masing-masing mengaku bersalah memiliki wang kertas palsu RM100, pada 11 Januari lepas.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) lucah kepada seorang guru.
  • PETALING JAYA - Dua rakan dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah cuba mencuri dua tayar kereta berserta rim, Julai lalu.