KENINGAU - Satu pencerobohan hutan simpan membabitkan kecurian beratus-ratus batang balak didakwa berlaku di Keningau, Sabah.

Kegiatan itu dikatakan bukan perkara baru bagi penduduk kampung kerana ia dilakukan tidak mengira musim.

Mereka bimbang jika kegiatan curi balak ini terus berleluasa, tidak mustahil dalam masa beberapa tahun lagi hutan simpan berkenaan akan kepupusan spesies kayu berkualiti tinggi.

Berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu, beberapa NGO, mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang menyiasat supaya kegiatan curi balak ini dapat dibanteras.

Persoalannya, adakah perkara ini disedari atau tidak oleh pihak kerajaan negeri khususnya Jabatan Perhutanan Sabah? Siapakah dalang di sebalik kegiatan ini?

Jika benar ia satu pencerobohan seperti  dakwaan penduduk, adakah syarikat pembalakan terkenal iaitu Anak Bumi terbabit melindungi dan bersekongkol dengan pembalak-pembalak haram itu?

Wartawan Sinar Harian ke lokasi untuk melihat sendiri sejauh mana kebenaran dakwaan penduduk.

Pekebun yang juga penduduk kampung berkenaan, Huminodun Marungun, 52, memberitahu apa yang merunsingkan, kegiatan haram itu bertumpu di lereng-lereng bukit dan banjaran sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko tanah runtuh.

“Kadang-kadang mereka hentikan aktiviti untuk elak perkara itu dihidu pihak berkuasa atau penduduk kampung.

“Biasanya mereka buat sebelah malam supaya orang kampung tak syak. Pernah kami terserempak dengan lori yang sedang punggah kayu sudah digergaji.

“Kami juga pernah terserempak dengan beberapa orang yang tidak dikenali membawa gergaji berantai masuk ke dalam hutan pada sebelah siang,” kata Huminodun.

Difahamkan, walaupun mempunyai bukti untuk mendedahkan perkara berkenaan, namun penduduk tidak berani berbuat apa-apa kerana bimbang akan diancam pihak terbabit.

Tinjauan wartawan  juga mendapati, terdapat dua lokasi kawasan penebangan pokok terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Kampung berkenaan.

Pembalak haram itu juga membina beberapa lorong laluan untuk mengangkut balak yang siap digergaji ke jalan kampung berhampiran.

Penduduk berkenaan menggesa kegiatan itu didedahkan dan meminta tindakan tegas diambil segera supaya pihak berkenaan tidak mengaut keuntungan daripada hasil hutan tanpa kebenaran.

Mereka juga akui bimbang kegiatan itu bakal menjadi punca bencana alam.

“Apa yang mereka buat tu dah nampak kesannya pada lereng bukit. Sudah ada kesan gelongsor tanah.

"Kami juga lihat pembalak itu tak tebang sekali gus tapi mereka gergaji separuh dan biar pokok tumbang sendiri.

“Kami boleh dengar bunyi pokok tumbang tapi tak dengar bunyi mesin gergaji berantai. Bila pokok tumbang mereka akan belah,” katanya sambil mendedahkan taktik pembalak haram.

Selain itu katanya, bagi memastikan kegiatan tidak dijejaki, pembalak haram menebang pokok di lebih dari satu kawasan.

Ini dapat dibuktikan apabila dua kawasan yang dilawati semalam, menunjukkan satu kawasan baharu dijadikan tempat membelah kayu, manakala satu kawasan lagi sekurang-kurangnya ditinggalkan sejak lima bulan lepas.  

Jarak antara satu kawasan ke kawasan yang lain kira-kira 1.5 kilometer.

“Kami bimbang kegiatan itu merebak ke kawasan tadahan hujan. Kami mahu kegiatan mereka ini dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti sebelum ini.

“Walaupun dua orang diberkas tapi kami perhatikan aktiviti penebangan pokok masih berlaku,” katanya.

Sementara itu, jurucakap SPRM Kota Kinabalu ketika dihubungi memberitahu, setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa aduan atau laporan yang mengaitkan pembalakan haram itu akibat perbuatan rasuah.

Ini adalah advertorial filem TOMBIRUO yang akan ditayangkan mulai 12 Oktober 2017.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Sahabat Alam Malaysia (Sam) membantah sekeras-kerasnya kegiatan pembalakan berskala besar yang dijalankan di hutan Merapoh, Mukim Batu Yon di sini.
  • PANTAI REMIS - "Hentikan pemberian lesen pembalakan bagi memastikan Hutan Simpan Segari Melintang dapat dikekalkan," tegas Adun Pantai Remis, Wong Mei Ing.
  • IPOH - Jabatan Perhutanan Negeri menemui kesan penebangan hutan tanpa kebenaran di tanah kerajaan seluas 0.7 hektar di Hutan Simpan Pondok Tanjung di sini, kelmarin.
  • KOTA BHARU - Adun Salor, Datuk Husam Musa hari ini mempersoal kegagalan kerajaan Kelantan pimpinan Pas dalam menangani isu pembalakan haram di negeri ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.