SANDAKAN - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah digesa tidak berkira dan berbelanja ke arah keselesaan hidup rakyat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata, ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri yang mengutamakan agenda rakyat.

Menurutnya, majlis perbandaran dan daerah harus membelanjakan aset untuk rakyat.

"Ini kita tekankan untuk membelanjakan duit dan peruntukan yang diterima PBT demi rakyat hidup selesa.

“Sebagai contoh memastikan kebersihan kawasan persekitaran,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini.

Katanya setiap peruntukan dan hasil yang diperoleh mesti dibelanjakan untuk kebaikan penduduk di kawasan masing-masing bukan dijadikan simpanan tetap.

Dalam  pada itu, Jaujan berkata PBT di negeri ini juga akan terlibat dalam penstrukturan semula bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan mencapai sasaran.

Katanya prestasi kerajaan negeri sentiasa dinilai rakyat dan sebagai sebuah pentadbir negeri yang baharu bukan mudah untuk membuat perubahan.

“Bagi kami, apa saja kritikan dan teguran kita terima dengan baik dalam mencapai keputusan terbaik untuk rakyat,” katanya.

Pada majlis sama Jaujan turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 25 kakitangan MPS dan penghargaan kepada 58 warga kerja yang bersara.

Hadir sama Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah Stephan Wong dan  Presiden MPS Datuk James Wong.- Bernama