KUCHING - Cadangan penubuhan parti pelbagai kaum di Sarawak boleh diterima tetapi ia mengambil masa untuk dilaksanakan, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

"Kita ambil kira cadangan itu, tetapi ia adalah satu evolusi.

“Kita jangan tergesa-gesa...apabila masyarakat telah mempunyai pandangan ataupun masanya sudah sampai, dengan memahami kepentingan untuk disatukan, barulah boleh kita laksanakan, kita ambil kira (tentang cadangan ini) tetapi ambil masa," katanya di sini, hari ini.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing tentang perlunya penubuhan sebuah parti pelbagai kaum di negeri ini.

Terdahulu, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Presiden Persekutuan Persatuan Komuniti Bahagian Kuching Datuk Sim Swee Yong.

Mendiang Sim, 85,  meninggal dunia akibat kegagalan jantung di sebuah pusat perubatan swasta di sini pada 8.30 malam tadi. - Bernama