TAWAU - Pasukan Polis Marin Tawau menahan seorang lelaki tempatan selepas cuba menyeludup keluar 25 tong gas ke Indonesia menggunakan sebuah bot menerusi laut Muara Sungai Pukul dekat sini, hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, DSP Mohd Nazri Ibrahim berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan susulan bot laju membawa barangan seludup itu dipintas bot polis yang menjalankan rondaan tugas Ops Gelora pada pukul 3.45 petang.

"Hasil pemeriksaan di ruang bot berkenaan, ditemui 16 tong gas jenama Petronas (RM4,000) dan sembilan tong gas jenama MyGaz (RM2,250) dalam bot berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Nazri berkata, ekoran itu pemeriksaan lanjut dilakukan dan juragan  gagal menunjukkan sebarang dokumen  yang sah dari pihak berkuasa untuk membawa barangan kawalan tersebut.

Beliau berkata lelaki tersebut dan hasil rampasan dibawa ke Pangkalan Polis MarinTawau untuk tindakan lanjut.- Bernama