MUKAH - Kaum Melanau terkenal dengan kemahiran menangkap ikan di laut sejak ratusan tahun dahulu.

Mereka menduduki kawasan muara sungai seperti di Sungai Rajang, Igan, Mukah, Balingian, Tatau dan Bintulu di Sarawak.

Laut China Selatan sudah menjadi sebahagian daripada lubuk rezeki bagi kaum itu, yang majoritinya merupakan nelayan pesisir.

Menjadi nelayan adalah tradisi turun-temurun kaum Melanau walaupun bilangannya semakin berkurangan akibat arus pemodenan yang membawa perubahan sosioekonomi kaum Melanau.

Dan, mereka terkenal sebagai nelayan ‘Panau’ dalam kalangan penduduk di pekan Mukah.

Panau adalah cara menangkap ikan tradisional yang kaedahnya jauh berbeza berbanding cara moden.

Guna kaedah panau

Abdul Karim Lai, nelayan pemilik lesen A (pesisir) di Mukah, masih mengamalkan cara Panau khususnya bagi menangkap ikan bawal hitam yang banyak terdapat di perairan pesisir Sarawak.

Beliau berkata tradisional penangkapan ikan bawal hitam kira-kira 10 hingga 20 batu nautika di perairan Mukah, Oya dan Kuala Tatau telah diamalkan lebih 100 tahun lalu sebelum wujudnya cara moden menggunakan pemerum gema (fishfinder).

Nelayan Panau di Mukah masih bergantung kepada kemahiran menyelam untuk menangkap dan memburu ikan di dasar laut pada kedalaman kira-kira 10 hingga 20 meter.

“Bila guna kaedah Panau, empat nelayan akan terjun dan menyelam ke laut bersama jaring khas manakala dua nelayan lagi memburu ikan masuk ke jaring,” katanya kepada Bernama.

Kawasan itu juga dipasang dengan unjam daun nipah beberapa hari sebelum mereka memburu ikan bawal.

Selain menyelam, nelayan Panau juga perlu mahir meninjau ikan di dasar laut kerana ikan bawal hitam bergerak dalam kumpulan.

“Tihuk…itu arahan yang diberikan awak-awak yang berpaut di bahagian belakang kapal sambil meninjau ke dasar laut untuk maklumkan kepada tekong kapal sebagai isyarat supaya memulakan kaedah Panau,” jelasnya.

Pantang larang

Abdul Karim berkata mengikut kaedah tradisional itu, mereka perlu memathui pantang larang bagi kaedah Panau seperti tidak menyebut nama ikan ‘duwai’ (bawal hitam) sebaliknya menggunakan nama lain seperti ‘kajang’ yang merupakan isyarat terdapatnya ikan di dasar laut.

Namun, ada juga nelayan yang tidak mengikuti pantang larang itu kerana yakin dengan rezeki masing-masing dan sabar memburu bawal hitam di unjang-unjang yang telah dipasang di tengah laut.

Menurutnya kira-kira 100 unjang di pasang di tengah laut dan mereka tidak boleh menyelam di unjam-unjam yang dipasang nelayan Panau lain.

“Ikan bawal yang ditangkap dengan kaedah Panau rasanya lebih manis dan sedap jika dibandingkan dengan kaedah tangkapan lain seperti tunda dan bubu,” kata Abdul Karim, yang kini menurunkan kemahiran Panau kepada anak dan saudara maranya bagi memastikan kaedah itu tidak pupus.

Kaedah Panau biasnya mampu menyumbang hasil tangkapan kira-kira setengah tan hingga satu tan ikan bawal yang bernilai kira-kira RM3,000 ke RM10,000 dari laut tetapi ia bergantung kepada cuaca dan keadaan air.

Hasil tangkapan itu kemudian dijual kepada peraih yang sedia menanti di Jeti Mukah sebelum ia dijual kepada pembeli pada harga RM20 hingga RM24 sekilo.- Bernama