KOTA KINABALU – Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah.

Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dun Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali itu selesai pada pukul 3. 33 petang.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Musa mengucapkan terima kasih kepada Speaker Dun Sabah kerana memberi persetujuan bagi beliau mengangkat sumpah sebagai Adun Sungai Sibuga hari ini.

"Saya berterima kasih kerana Speaker Dun Sabah memahami keadaan kesihatan saya, serta mengizinkan saya datang menghadap bagi membolehkan saya memenuhi tanggungjawab selaku Adun," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis angkat sumpah itu di sini, hari ini.

Pada masa sama, Musa berkata beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan akan tetap memberikan kerjasama tersebut selagi diperlukan.             

"Perlu saya tekankan di sini bahawa saya bukanlah seorang pelarian dan tidak sesekali pernah terniat di dalam hati untuk lari daripada pihak berkuasa Malaysia sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan di dalam media sosial selama ini.

"Saya berada di luar negara atas sebab kesihatan serta rawatan rapi yang diperlukan dan ini dibuktikan dengan laporan kesihatan daripada para doktor yang merawat saya," katanya.

Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan beberapa pemimpin Umno Sabah. - Bernama