KUCHING – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak kecewa dengan kenaikan gaji minimum rendah dengan kadar gaji minimum seragam bagi seluruh negara ditetapkan sebanyak RM1,050 sebulan yang tidak berasaskan dasar ekonomi dan pasaran tenaga kerja yang mampan.

Setiausahanya, Andrew Lo berkata MTUC percaya bahawa kadar upah minimum sebanyak RM1,050 adalah cadangan daripada majikan, dan bukannya cadangan sepenuhnya Majlis Gaji Minimum secara keseluruhan.

"Ia hanya meliputi peningkatan sebanyak lima peratus apabila kadar inflasi rasmi telah meningkat sebanyak sekurang-kurangnya 10 peratus manakala produktiviti tenaga kerja meningkat sebanyak kira-kira lapan peratus dalam tempoh kaji selidik.

Kenaikan mestilah berasaskan kepada dasar ekonomi dan pasaran tenaga kerja yang mampan, bukan pada kehendak dan jangkaan ahli politik. Hak pekerja tidak boleh dirampas oleh politik," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, gaji minimum adalah lebih rendah di Sabah dan Sarawak hanya kerana majikan di kedua-dua negeri itu membayar gaji yang lebih rendah pada dekad yang lalu.

“Walaupun matlamatnya adalah untuk mewujudkan kadar yang seragam, ini harus dicapai secara beransur-ansur. Untuk mendesak bagi kadar yang seragam sekarang akan menghadapi risiko mengguna pakai kadar lebih rendah yang menjejaskan pekerja di Semenanjung Malaysia yang merangkumi 70 peratus daripada jumlah tenaga kerja keseluruhan.

"Berdasarkan data yang dikumpulkan, kita menjangka keseragaman dapat dicapai menjelang kaji selidik seterusnya,” kata beliau. - Bernama