KUCHING – Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak masih menunggu laporan penuh daripada pihak perunding mengenai 11 tabika usang di negeri ini, yang akan dikemukakan kepada Pejabat Ketua Menteri pada akhir bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung  keadaan dan jumlah kos membina semula 11 tabika tersebut yang di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat  (Kemas)

“Kita telah memberi saranan kepada kerajaan negeri bahawa kerajaan pusat perlu membina bangunan baharu bagi 11 tabika yang usang ini terlebih dahulu, kerana sudah mempunyai tapak untuk bangunan baharu tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Taska 2017 di sini hari ini.

Fatimah berkata terdapat keperluan membina bangunan baharu tabika berkenaan bagi menyediakan tempat pembelajaran yang kondusif serta selamat kepada kanak-kanak.

Pada masa sama, beliau  berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada Kemas untuk menitikberatkan soal keselamatan kerana kementerian berkenaan tidak akan berkompromi berhubung perkara tersebut  walaupun tadika berkenaan usang.

Fatimah berkata kebanyakan tabika yang usang itu adalah di kawasan luar bandar, dan Kemas  tidak boleh menantikan bangunan sempurna untuk jabatan berkenaan menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak.

“Jika mereka menunggu, maka kanak-kanak ini akan terlepas peluang mendapatkan pendidikan awal. Justeru, dengan bantuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, mereka membuat keputusan menggunakan mana-mana bangunan dan tempat yang ada, sama ada di dewan komuniti atau di ‘ruai’ (beranda) rumah panjang untuk dijadikan tabika," katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu memahami tujuan Kemas membuat keputusan tersebut adalah bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan awal yang sempurna.

Sebelas tabika berkenaan adalah Tabika RH Serit Kapit; Tabika RH Pillai Kapit; Tabika RH Tunjang Sungai Lelabi Sarikei; Tabika Selangan Sarikei; Tabika RH Jamba Kapit; Tabika Kampung Sagah Petra Jaya; Tabika Sungai Malikat Marudi; Tabika Manok Machal Kapit; Tabika Kampung Ampungan, Puncak Borneo; Tabika Kampung Banting Lawas dan Tabika Kampung Sungai Tapang Stampin.

Dalam pada itu, Fatimah berkata ibu bapa seharusnya membiarkan anak-anak mereka bermain sambil belajar, dan jangan memaksa mereka membaca dan menulis semasa kanak-kanak berkenaan berada di taman asuhan kanak-kanak tersebut.

Beliau berkata ibu bapa kadang  kala memandang remeh manfaat melakukan  aktiviti bermain itu, dan kurang menyedari bahawa anak-anak mereka sebenarnya boleh belajar perkara-perkara baharu, malah dapat mengamalkan nilai-nilai baik, serta menggalakkan tumbesaran  otot kanak-kanak berkenaan.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MIRI - "Maklumat tidak lengkap antara punca bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lewat disalurkan," kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.
  • KUCHING - Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak akan mempelawa pertubuhan bukan kerajaan, Sisters in Islam (SIS) dan pakar undang-undang untuk mengkaji sama ada undang-undang yang sedang diguna pakai di negeri ini bersifat menindas wanita.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.