SEMPORNA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna merampas 27 tong berisi 540 liter minyak diesel selepas menahan sebuah bot dekat Pulau Bum-Bum di sini, semalam.

Pengarah Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata bot ronda Maritim yang menjalankan rondaan di kawasan tanggungjawab terserempak sebuat bot laju mencurigakan sebelum ditahan pada kira-kira 5.30 petang.

"Namun, ketika bot rondaan menghampiri bot berkenaan  dua lelaki terjun ke dalam laut dan meloloskan diri ke kawasan perairan cetek di Terusan Tanduo Bulong.

"Bot dan barang rampasan ditunda ke Jeti Kem Azumi kerana dipercayai melanggar syarat permit barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Norrimi berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi menangani perbuatan melanggar undang-undang di perairan Semporna.

Menurutnya, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat kegiatan yang menyalahi undang-undang di laut dengan menghubungi Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS999.- Bernama