KUCHING – Cadangan lencongan Lebuhraya Pan Borneo di jalan Miri-Lawas-Sindumin akan membuka kawasan pendalaman Sarawak kepada peluang bagi kegiatan pertanian dan perniagaan khususnya kepada penduduk di kawasan itu.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata terdapat beberapa rumah panjang di kawasan itu, dan penduduknya akan mendapat manfaat daripada rangkaian jalan raya yang disediakan oleh lencongan itu.

“Pelancongan akan turut mendapat manfaat, susulan perjalanan ke pelbagai tarikan di kawasan itu akan menjadi lebih mudah.

“Ia juga akan menjadi talian hayat bagi Limbang kerana pada ketika ini lebuh raya dari Miri ke Temburong melangkau Limbang. Lencongan dicadangkan ini akan melalui Limbang, membawa faedah yang amat diperlukan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lagipun,  Baru Bian berkata dengan melangkau Brunei akan lebih memudahkan pesakit dari kawasan luar bandar iaitu Baram, Bario dan Ba’ Kelalan untuk mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Miri.

“Ketika ini, pesakit yang memerlukan rawatan kritikal perlu merentasi  Brunei untuk sampai ke Hospital Miri, ini mendatangkan masalah kepada ramai orang, tidak semua orang memiliki pasport.

“Alternatifnya adalah diterbangkan dengan helikopter; kemudahan ini tidak dapat diakses oleh kebanyakan orang. Pesakit dari Lawas yang memerlukan rawatan kritikal kini perlu pergi ke hospital di Kota Kinabalu, dan ini menambahkan bebanan hospital di Sabah, “ katanya.

Baru Bian berkata beliau secara peribadi akan memantau perkembangannya dan akan mengkaji penjajaran terbaik bagi lencongan itu. –Bernama