KOTA KINABALU - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membakar rumah mentuanya di Kampung Melikai, Menumbok, dekat Beaufort, berikutan krisis rumah tangga yang dihadapi bersama isterinya.

Ketua Polis Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata dalam kejadian kira-kira jam10.05 malam pada Jumaat lalu, lelaki itu disyaki membaling dua botol berisi petrol sehingga menyebabkan pintu rumah dan kerusi terbakar.

Bagaimanapun, Azmir berkata lapan penghuni rumah itu termasuk isteri suspek, empat kanak-kanak serta dua warga emas tidak mengalami sebarang kecederaan, dan satu laporan polis telah dibuat oleh isteri suspek susulan kejadian itu.

“Semasa kejadian, pengadu bersama kakaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah terdengar bunyi sesuatu dibaling di pintu dan api terus marak. Pengadu dan kakaknya terkejut dan terus menjerit lalu berlari keluar untuk memadamkan kebakaran itu.

“Rakaman percakapan ke atas seorang saksi mendedahkan ternampak seorang lelaki dikenali telah datang ke rumah mereka kira-kira jam 9.50 malam dalam keadaan mencurigakan. Suspek adalah suami kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azmir berkata siasatan lanjut mendapati pengadu dan suaminya mempunyai masalah rumah tangga dan masih dalam proses perceraian.

“Pengadu telah berkahwin dengan suspek lebih kurang lapan tahun lalu dan mempunyai dua anak.

"Suspek juga didapati pernah memukul pengadu dan mengugut untuk mati bersama jika (pengadu) tidak mahu balik bersama dengannya,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api. - Bernama