KUCHING - Seorang lelaki mengalami kecederaan pada tangan kiri selepas dilibas dengan parang oleh bapa saudaranya di sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Market pada 9.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ng Ah Lek  berkata kejadian berpunca akibat salah faham apabila suspek yang berumur 47 tahun itu ditegur oleh mangsa yang juga anak saudaranya kerana telah menampar teman wanita mangsa pada sambutan Tahun Baharu Cina yang lepas.

“Semasa kejadian, mangsa bersama abangnya berada di dalam kedai sebelum didatangi suspek yang secara tiba-tiba telah melibas parang yang berbalut surat khabar ke arah mangsa.

“Mangsa yang berusia 25 tahun mengalami kecederaan pada tangan kiri ketika mempertahankan diri. Orang ramai yang berada di lokasi kejadian kemudian bertindak membantu mangsa lalu menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng Ah Lek berkata siasatan awal mendapati, suspek disahkan mempunyai rekod masalah mental dan sering membuat kecoh di kawasan kejiranan.

“Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan parah. Mangsa telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan disahkan stabil,” katanya. –Bernama