KOTA KINABALU - Sidang Dun Sabah hari ini diberitahu sebanyak RM632.95 juta diperuntukkan bagi mengatasi masalah banjir di Kota Kinabalu, Sepanggar, Penampang, Putatan, Kota Belud dan Tawau dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Junz Wong berkata peruntukan itu adalah untuk melaksanakan beberapa projek tebatan banjir termasuk menaik taraf sistem perparitan sedia ada dan juga mendalamkan sungai di daerah terbabit.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM96.70 juta diperuntukkan bagi memulakan serta melaksanakan beberapa projek di Kota Kinabalu dan Sepanggar;  Penampang (RM365.50 juta); Putatan (RM50.75 juta) dan Kota Belud (RM70 juta).

“Selain itu, RM50 juta diperuntukkan bagi menaik taraf Sungai Rakis, outlet ke muara sungai Tawau dan pembesaran Jambatan Jalan Apas. Projek ini dalam peringkat pengurusan tender. Peruntukan selebihnya akan dimohon dalam RMK-12,”  katanya di sini.

Beliau menjawab soalan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) yang ingin tahu rancangan dan program kerajaan bagi menangani masalah banjir di kawasan tanah rendah di daerah terbabit.

Junz berkata kerajaan negeri komited dalam melaksanakan program serta projek menaik taraf sistem perparitan dan mendalamkan sungai sebagai antara langkah menyelesaikan isu banjir di daerah berkenaan.

“Bagaimanapun, pelaksanaannya mengikut keutamaan tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan,” katanya. - Bernama