TUARAN - Pengguna di Sabah diminta membuat laporan ke Pejabat Kesihatan berhampiran sekiranya mendapati masih ada peruncit menjual jenama produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi cacing.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, ini penting bagi membolehkan pihak jabatan membuat pemeriksaan dan pemantaun secara berterusan berhubung perkara itu.

"Jabatan Kesihatan Sabah turut menjalankan pemeriksaan amaran makanan mengenai kehadiran cacing dalam ikan sardin (dalam tin) yang diimport daripada luar negara. Kita sudah mengetahui jenama produk itu dan meminta penjual menarik balik produk terbabit daripada dipamerkan untuk jualan.

"Bagaimanapun, pengguna boleh membuat laporan ke pejabat kesihatan berhampiran jika masih ada penjual atau peruncit yang tidak mengambil tindakan berbuat demikian atau terbeli produk (ikan sardin dalam tin) jenama lain dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara itu," katanya, hari ini.

Pada 14 Mei lepas, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia dilaporkan menemui cacing yang boleh menyebabkan penyakit anisakiasis kepada manusia di dalam sampel tin sardin dari China jenama RANESA.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan terdapat enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Beliau berkata, enam produk ikan sardin berkenaan adalah jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy. - Bernama