SANDAKAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 76.50 tan metrik minyak masak yang disyaki tiada kelulusan barang kawalan dalam pemeriksaan terhadap sebuah kapal di jeti syarikat swasta di Jalan Batu Sapi dekat sini, hari ini.

Ketua Cawangan KPDNKK Sandakan Abd Muis Samsudin berkata pemeriksaan pada jam 9 pagi itu mengesan 4,500 kotak minyak masak bernilai RM195,955.

Katanya minyak masak tersebut hendak dieksport ke Filipina dan rampasan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Penahanan kapal dan penyitaan minyak masak tersebut dilakukan kerana cuba mengeksport barangan itu tanpa kebenaran, katanya ketika ditemui di jeti tersebut.

Menurutnya jeti yang digunakan untuk memuatkan minyak tersebut tiada lesen dan beberapa dokumen lain turut disita bagi tujuan siasatan.

Abd Muis berkata pihak yang terlibat dalam pengeksportan minyak masak itu juga telah tampil dan membantu dalam siasatan yang dijalankan. - Bernama