KUCHING - Walaupun kebanyakan orang politik mengharapkan terpilih menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang, tetapi lain pula halnya dengan Ketua Penerangan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Tasik Biru Henry Harry Jinep.

Pemilik Putra Sentosa Development Sdn Bhd ini lebih memberi keutamaan terhadap urusan mengembangkan perniagaannya. Henry berkata syarikatnya sedang membuat persiapan untuk melaksanakan pembinaan 70 unit bangunan komersial dua tingkat di pekan Tondong di Bau dekat sini, yang mengambil masa 10 tahun untuk disempurnakan.

"Syarikat saya menyedari potensi ekonomi yang wujud di Tondong, hanya 20 minit perjalanan dengan kereta dari bandar raya ini dan merancang untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh penduduk di sekitar kawasan ini serta memenuhi keperluan pelabur di sana," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Henry, 45, berkata 10 unit daripada bangunan berkenaan sedang dibina di kawasan 0.8 hektar yang terletak berhampiran kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Puncak Permai.

Kem PLKN Putra Sentosa di Sematan, Lundu dekat sini milik jurukur bahan ini merupakan kem pertama yang mendapat persijilan ISO 9001:2008 bagi sistem pengurusan kualiti di Sarawak, di samping merupakan kem milik swasta pertama di negara ini dalam kategori berkenaan.