KOTA KINABALU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah mengesan kes terbaharu wabak penyakit selesema burung di dua buah kampung di Tuaran.         

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong berkata dua kawasan itu ialah Kampung Laya-Laya Tuaran dan Estet Kampung Ladang Tenghilan.       

"Dua kawasan ini disahkan positif wabak selesema burung sejak 23 Ogos lalu, bagaimanapun hasil pemeriksaan JPV tiada ladang ternakan ayam komersil di kawasan berkenaan.         

"Kawasan itu hanya ternakan ayam yang dipelihara oleh penduduk kampung yang terlibat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.         

Katanya berikutan kes berkenaan JPV Sabah telah memulakan aktiviti penghapusan dan pelupusan ayam meliputi satu kilometer dari kawasan jangkitan yang bermula semalam.

Wong berkata antara kawasan yang terlibat ialah Desa Sri Taman Jaya Kampung Laya-Laya, Taman Layar Impian, kawasan perumahan Laya-Laya, ladang buaya dan Kampung Hope.         

[ARTIKEL BERKAITAN:  Wabak selesema burung hanya di Tuaran: JPV Sabah]

Selain itu, Tenghilan, Kampung Ladang Estet, Kampung Linsuk, Kampung Kogosingan dan Kampung Tampasak Gamaron.        

Beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat agar memberi kerjasama kepada JPV Tuaran dalam usaha menangani wabak berkenaan.         

Pada awal Ogos lalu, Tuaran diisytiharkan sebagai kawasan wabak penyakit selesema burung selepas ujian mendapati sebuah ladang di daerah itu merekodkan keputusan positif bagi selesema burung.– Bernama