KOTA KINABALU - Kerjasama antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan KPLB di peringkat Persekutuan akan terus diperkasa menerusi persefahaman dan hubungan baik dijalinkan antara kedua-dua menteri yang menerajui kementerian berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata beliau menghargai komitmen dan kerjasama rakan sejawatannya, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun yang turut bersedia melakukan terbaik bagi membantu melengkapkan usaha membangunkan komuniti dan kawasan luar bandar di negeri ini.

“Ini termasuk persetujuan bagi perkongsian maklumat dan penyelarasan projek-projek dilaksanakan KPLB Persekutuan di Sabah.

"Saya membangkitkan beberapa perkara termasuk aspirasi kerajaan negeri mengenai keperluan bina rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin dan peranan pejabat daerah yang lebih besar dalam projek-projek kecil luar bandar di bawah KPLB.

“Selain itu, perkongsian maklumat dan penyelarasan projek Jalan Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, ameniti sosial dan lampu-lampu jalan kampung oleh KPLB Sabah dan Persekutuan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ewon yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian mengadakan kunjungan hormat ke atas Rina di pejabat KPLB Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah kedua-dua Pembantu Menteri KPLB Sabah, Rasinin Koutis dan Dumi Pg Masdal; Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Sualim Sanan dan Setiausaha Perhubungan Charles Dalansing.

Mengulas lanjut, Ewon berkata institusi baharu pengurusan komuniti dan kampung termasuk pemberian geran bagi semua institusi itu di Sabah, turut dibincangkan.

"Selain itu, saya turut menyampaikan aspirasi daripada beberapa persatuan di Sabah yang mahu peranan lebih besar diberikan kepada mereka bagi perkhidmatan perundingan dan pelaksanaan kerja-kerja projek KPLB Persekutuan di Sabah.

"Yang Berhormat Rina cukup terbuka dan memberi maklum balas sangat positif kepada perkara-perkara menjadi keprihatinan utama Sabah yang telah saya sampaikan, malah beliau juga memberitahu akan melawat Sabah dalam masa terdekat.

“…dan berharap dapat membuat pengumuman penting mengenai perkara-perkara tersebut selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)," katanya. - Bernama