KOTA KINABALU - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata  kestabilan negara, peluang pembangunan menyeluruh dan memastikan masa depan negara terus dalam keadaan baik merupakan  tiga perkara yang perlu diberi  pertimbangan semasa memilih kerajaan.

"Semua perkara itu ada dalam kerajaan BN pada masa kini. Contohnya, untuk memastikan masa depan negara, kita mempunyai pelbagai program termasuk Transformasi Nasional 2050," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata kerjasama baik antara Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menentukan agar pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan dengan secepatnya.

"Oleh itu rakyat perlu terus menyokong kerajaan pada masa ini untuk memastikan kesinambungan kepada pembangunan dan kestabilan di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Menyambut Tahun Baharu 2018 Paroki Holy Nativiti Kampung Terawi, Penampang dekat sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini terdapat pihak  tertentu yang cuba untuk memecahbelahkan kaum dan agama selain menyatakan sesuatu seolah-olah penduduk Sabah dipinggirkan.

“Itu semua tidak benar dan ia hanya tujuan politik semata-mata. Saya memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa terikat dengan apa yang telah dipersetujui semasa kita Merdeka," kata Salleh.

Beliau juga berkata semua pemimpin dalam kerajaan BN sentiasa menghormati apa yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia.

Sementara itu, Salleh berkata kerajaan  memperuntukkan sebanyak RM600,000 untuk menaik taraf kawasan pakir dan dewan di Gereja Holy Nativiti Kampung Terawi.

"Peruntukan itu menunjukkan semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa mempunyai tempat untuk sama-sama membangunkan negara ini. Inilah kerajaan BN yang sentiasa adil kepada semua rakyat di Malaysia," tambahnya. – Bernama