• Demo-sarawak Sebahagian daripada kira-kira 800 pekerja Sanmina-SCI Corporation Malaysia Sdn Bhd dari pelbagai pangkat dan jawatan berhimpun dan mengadakan bantahan secara aman.
1 /

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak mengarahkan Jabatan Buruh Negeri membantu 800 pekerja yang terlibat dalam tindakan pemberhentian pekerja yang diambil oleh Sanmina-SCI Corporation (M) Sdn Bhd, untuk mencari pekerjaan dalam industri yang serupa di Zon Perindustrian Perdagangan Bebas Sama Jaya, Taman Perindustrian Samalaju dan di tempat-tempat lain.

Menteri Pembangunan Perusahaan Negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata hari ini jabatan itu juga diarahkan memastikan bahawa pemberhentian kerja itu, yang dilaksanakan sejak Selasa lalu, mematuhi sepenuhnya Undang-Undang Buruh Sarawak dari segi pampasan dan faedah-faedah pemberhentian kerja. 

"Kementerian tidak berpuas hati dengan tindakan memberhentikan pekerja yang dibuat dengan notis yang singkat dan kesal bahawa Sanmina-SCI tidak mempertimbangkan rayuan kerajaan, sebaliknya meneruskan tindakan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata kementeriannya, yang hanya dimaklumkan secara lisan minggu lepas oleh Sanmina-SCI mengenai penstrukturan semula kilangnya setelah syarikat itu membuat keputusan untuk memberhentikan pekerjanya, telah membuat rayuan kepada syarikat itu supaya menangguhkan tindakan itu hingga akhir tahun.

"Kerajaan bersimpati dengan pekerja yang diberhentikan itu kerana kita memandang berat kebajikan pekerja," katanya sambil menambah bahawa penangguhan membolehkan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mencari penyelesaian kepada masalah itu, memberikan masa yang mencukupi bagi mereka mencari pekerjaan di tempat lain dan membolehkan jabatan membantu mereka.

Beliau berkata Sanmina-SCI harus mempertimbangkan untuk memberikan mereka faedah-faedah pampasan memandangkan notis singkat yang diberikan kepada pekerja yang terlibat kerana ia telah menjelaskan bahawa ini merupakan program korporat berdasarkan keputusan perniagaan dan tiada siapa pun harus mempolitikkan isu ini untuk mencari pengaruh politik.

Isnin lepas satu pertemuan segera diadakan antara Awang Tengah dan pengurusan tertinggi Sanmina-SCI, yang juga termasuk dua Menteri Muda bagi Kementerian Pembangunan Perusahaan, Pengarah Jabatan Buruh Sarawak, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pengarah Bahagian Industri Elektronik, MIDA Kuala Lumpur dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Berikutan pertemuan itu, katanya, MIDA Kuala Lumpur segera menghubungi ibu pejabat Sanmina-SCI di Amerika Syarikat agar mempertimbangkan untuk menangguhkan tindakan memberhentikan pekerja itu atas dasar belas kasihan untuk membolehkan kerajaan negeri dan MIDA membantu pekerja-pekerja berkenaan, terutamanya untuk menangani masalah kehilangan pekerjaan dengan tiba-tiba.

Kilang Sanmina-SCI di Zon Perindustrian Sama jaya di sini dilaporkan mempunyai 1,077 pekerja, termasuk kakitangan pengurusan tertinggi.

Menurut laporan berita, surat pemberhentian kerja itu diserahkan kepada pekerja-pekerja itu secara berperingkat-peringkat sejak Selasa. 

Sementara itu, Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) cawangan Sarawak, Andrew Lo, menasihatkan pekerja-pekerja yang terlibat supaya melaporkan pemberhentian kerja yang tidak adil ini kepada Pejabat Perusahaan. 

MTUC Sarawak juga menyeru kerajaan negeri supaya mengambil sikap amat berhemat dan meneliti pelabur asing sebelum meluluskan pelaburan mereka, terutamanya dalam usaha menarik pelabur ke Koridor Tenaga Boleh Baharu Sarawak (Score), katanya. - Bernama