KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri pimpinannya mahu membangunkan semua kaum di negeri itu.

Katanya selain pembangunan untuk masyarakat Melayu, beliau juga mempunyai perancangan bagi membangunkan semula kawasan petempatan masyarakat Cina termasuk di kawasan Padungan.

“Untuk membangunkan kawasan kaum Iban kita telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Upper Rajang untuk membangunkan kawasan Batang Raja sehingga ke Kapit, manakala penubuhan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi akan bertanggungjawab membangunkan kawasan Baram untuk masyarakat Orang Ulu,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Korban Perdana Takaful Ikhlas di Masjid Darul Hana Kampung Patingan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Lembaga Pembangunan Upper Rajang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi sementara Agensi Pembangunan Tanah Tinggi pula diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Kita hanya akan fokus kepada kepada pembangunan… jangan bercakap tentang agama dan kaum kerana kita mahu membantu semua kaum,” kata beliau.

Terdahulu Ketua Menteri berkata Sarawak memerlukan program pembangunan bandar yang sistematik dan moden selari dengan proses pembangunan pesat yang sedang berlaku di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya kerajaan mempunyai rancangan untuk membangunkan Satok sebagai daerah perniagaan yang baharu.

Katanya sebuah bangunan berkembar yang berkonsep moden sedang dalam pembinaan di bekas tapak Bina Mara di Jalan Haji Taha di sini yang dijadual siap menjelang 2021.

Sementara itu, Pengerusi Takaful Ikhlas Berhad Sharkawi Alis dalam ucapannya berkata syarikat itu  menyumbang 14 ekor lembu untuk dikorbankan pada majlis hari ini dan dagingnya dibahagikan kepada penduduk di 14 ranting di sekitar kawasan Satok.

Beliau berkata sejak beroperasi di Sarawak pada 2007, syarikat itu menerima sokongan berterusan daripada masyarakat dan majlis korban tersebut adalah sebagai menghargai pelanggannya selain mendidik masyarakat menghayati erti pengorbanan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ARAU - Projek mega pembangunan Kuala Perlis syarikat Kumpulan Tabung Haji Properties (THP) akan disambung semula sebaik urusan melantik kontraktor baharu selesai dalam masa terdekat.
  • TENOM - Langkah mengoptimumkan perbelajaan kerajaan tidak menjejaskan tumpuan dan usaha melaksanakan program pembangunan di kawasan luar bandar, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Radin Malleh.
  • KOTA BHARU - Impak pembangunan yang dijalankan di kawasan sekitar seliaan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) menyebabkan lokasi berkenaan sering digenangi air dan menyebabkan banjir mudah berlaku.
  • PASIR GUDANG - Penduduk sekitar Taman Cahaya Masai, di sini runsing berikutan jalan rosak didakwa berpunca daripada pembangunan sementara dijalankan pihak berwajib sejak beberapa minggu lalu.
  • TELUK INTAN - Hampir 90 peratus projek pembangunan infrastruktur dalam Parlimen Pasir Salak telah dibangunkan demi keselesaan penduduknya.