KENINGAU - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata kepelbagaian agama bukan penghalang bagi rakyat negara ini untuk bersatu.

Beliau berkata rakyat Malaysia sangat beruntung kerana hidup dalam suasana muhibbah, harmoni dan bersatu walaupun berkongsi negara dalam kepelbagaian agama, kepercayaan serta falsafah politik.

“Inilah kualiti yang membezakan kita dengan rakyat-rakyat di negara lain … kita boleh duduk semeja walau pun berlainan agama dan bangsa.

“Kita mempunyai perasaan saling hormat menghormati yang menunjukkan kepelbagaian itu bukan penghalang … kita adalah rakyat yang sangat bertuah,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Mesra Tahun Baru Cina 2018 Peringkat Parlimen Pensiangan di sini hari ini.

Kurup berkata kerajaan Barisan Nasional dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada di landasan betul dan tidak ada sebab rakyat mengetepikannya pada pilihan raya akan datang.

“Ekonomi kita (Malaysia) sangat kukuh. Percayalah, walaupun terdapat kenaikan kos sara hidup, tetapi kerajaan tidak berpeluk tubuh untuk mencari titik penyelesaian untuk menyenangkan  rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kurup yang merupakan anggota Parlimen Pensiangan berkata, pelbagai bentuk bantuan dan insentif disediakan oleh kerajaan khusus untuk golongan  belia di negara ini.

Mengenai sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini, Kurup berharap ia akan memberi sinar kepada semua rakyat, khususnya masyarakat Tionghua di negara ini khususnya di Keningau.

“Jadikan Tahun Baru Cina 2018 ini sebagai jambatan perpaduan untuk memperkasa perpaduan di antara kita,” katanya, pada majlis dihadiri kira-kira 700 orang penduduk berbilang kaum itu. - Bernama