KENINGAU – Berikutan pengumuman projek pembinaan empangan di sini, penduduk Keningau semakin lantang menyuarakan bantahan mereka.

Terbaru, bantahan tersebut mengaitkan syarikat Anak Bumi Sdn Bhd yang memegang konsesi balak di sini.

Baru-baru ini, penduduk kampung menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap pembalakan haram di kawasan itu.

“Kami ada nampak jip Anak Bumi di tempat pembalakan haram itu berlaku,” kata seorang penduduk yang tidak mahu identitinya didedahkan.

“Setahu kami, sekuriti mereka kuat, tak mudah orang membalak secara haram melainkan kerja orang dalam,” dakwanya.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Ketua Hal Ehwal Korporat Anak Bumi, Salina Tan Sri Berham ketika dihubungi Sinar Harian.

“Kami sama sekali tidak terbabit di dalam pembalakan haram,” tegasnya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan Anak Bumi sedang merancang bekerjasama dengan sebuah syarikat pembinaan untuk mendapatkan tender membangunkan empangan, beliau tidak mahu memberi sebarang komen berkaitan penglibatan mereka di dalam projek itu.

“Anak Bumi sentiasa prihatin kepada penduduk di situ. Kami sudah seperti keluarga dengan orang di sini. Kami sendiri pun terkejut dengan berita projek empangan ini,” kata Salina.  

Anak Bumi Sdn Bhd adalah syarikat keluarga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Berham yang beroperasi sejak 30 tahun lalu.  

Anak Bumi Sdn Bhd juga berkecimpung di dalam industri hiliran balak namun majoriti perniagaannya bertumpu kepada pembalakan.

Justeru, projek empangan yang akan dibina di kawasan konsesi Anak Bumi kemungkinan besar akan menjejaskan pulangan syarikat tersebut.

Respons yang diberikan Salina menambahkan lagi rasa curiga penduduk Keningau terhadap syarikat tersebut kerana Anak Bumi mungkin akan bertindak berpandukan kepentingan perniagaan semata-mata.

Ini adalah advertorial untuk filem Tombiruo yang akan ditayangkan mulai 12 Oktober 2017.