KOTA KINABALU - Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan mati lemas, pagi tadi, selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Sungai Marang Kik, Jalan Skim Purutan, dekat Tambunan, petang semalam.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa Nathneal Liocember Herman, 10, dipercayai lemas di sungai itu sewaktu beriadah bersama keluarganya.

Sepasukan tujuh anggota Bomba dan Penyelamat Tambunan yang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada  6.58 petang bergegas ke lokasi kejadian.

"Mayat mangsa dijumpai jam 6 pagi tadi oleh pasukan bomba, polis, dan keluarga  sejauh 100 meter dari tempat mangsa terjatuh," kata pusat gerakan operasi dalam kenyataan di sini hari ini. - Bernama