KUALA LUMPUR - Kampung air di Sabah perlu ditadbir urus dengan lebih sistematik bagi memastikan perkampungan atas air yang unik di negeri bawah bayu itu bebas daripada ancaman jenayah dan gejala tidak sihat.

Pengurusan secara lebih sistematik di perkampungan yang mempunyai keistimewaan tersendiri itu akan menjadikan persekitarannya lebih selesa dan meningkatkan daya tarikan pelancong.

Bekas penduduk perkampungan air di Kampung Sim-Sim, Sandakan, Fadzilah Ismail, 40, berkata penambahbaikan dan penstrukturan semula kampung air perlu bagi memastikan ia terus kekal dan tidak ditelan zaman.

"Peredaran zaman dan kewujudan masalah seperti kemasukan pendatang asing memungkinkan kampung air dianggap tidak lagi relevan pada masa kini, namun pada saya kampung air yang berkembang berabad lamanya itu sangat unik dan berjaya mewujudkan kelompok masyarakat tersendiri.

"Ia (kampung air) perlu dikekalkan tetapi perlu diberi nafas baharu terutama dari segi keselamatan dan pembangunan yang lebih tersusun agar penduduk yang sekian lama menetap di kawasan itu hidup dalam keadaan lebih selesa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Fadzilah yang kini tinggal di Kinabatangan berkata petempatan yang lebih teratur juga memudahkan pihak berkuasa mengawal kemasukan pendatang asing ke negara ini melalui perairan Sabah.

Orix Atoi, 19, seorang pelajar kolej swasta berasal dari Sandakan berkata satu pendekatan khusus perlu dilaksana bagi memastikan kampung air diubah menjadi petempatan yang lebih selesa dan teratur.

"Sudah tiba masanya kampung air dibuat pembaharuan, contohnya melantik penyelaras khas yang terdiri daripada ahli jawatankuasa kampung untuk menyelaras kawasan kampung dari pelbagai segi seperti pembangunan dan kebersihan," katanya.

Orix berkata berdasarkan pemerhatiannya terhadap anggota keluarga yang tinggal di kampung air, beliau mendapati persekitaran perkampungan air di Sabah itu tidak kondusif dan sangat lemah dari segi keselamatan dan infrastruktur.

"Rumah-rumah yang dibina di atas tiang-tiang kayu yang banyak dan sangat tinggi dalam air itu juga boleh distruktur semula agar lebih kukuh dan selamat," katanya.

Sependapat dengan Orix ialah Roxanne Marcus , 33, dari Kota Kinabalu yang berkata penambahbaikan di perkampungan air merupakan langkah bijak yang dapat membantu meningkatkan keselesaan hidup penduduk sebagaimana penduduk di bandar yang mempunyai pelbagai infrastruktur.

"Penambahbaikan dari segi infrastruktur seperti pembinaan jeti yang bukan sahaja memudahkan penduduk yang majoritinya nelayan tetapi juga merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan itu," katanya.

Zuera Noor, 27, juga dari Kota Kinabalu berkata satu kumpulan khas yang terdiri daripada jiran tetangga juga perlu dilantik dan terlibat dalam hal ehwal kejiranan supaya sudut sosial tidak dipinggir bagi mengelak masalah lain timbul contohnya sarang penagihan dadah. 

"Kewujudan petempatan di perkampungan air sememangnya mencerminkan satu warisan budaya tradisi penduduk tempatan di Sabah.

"Justeru ia harus terus dijaga dan dikekalkan dengan semua pihak terutama penduduk perlu memainkan peranan penting untuk mewujudkan perkampungan air yang selesa, selamat dan kekal menjadi tumpuan pelancong," katanya. - Bernama