TELUPID - Jumlah kes malaria di Sabah sepanjang tahun lepas menunjukkan penurunan iaitu 748 kes berbanding 1,044 pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana sebelum ini jumlah kes tidak pernah kurang daripada 1,000.

"Penurunan sebanyak 296 kes itu pada tahun lepas membolehkan jumlah kes malaria di Sabah kurang daripada 1,000," katanya pada sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat negeri di sini, hari ini.

Sambutan itu dirasmikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, turut mengingatkan penduduk bahawa penurunan  itu bukan bererti usaha menghapuskan penyakit itu sudah semakin mudah.

Menurutnya, ini kerana kes yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini adalah hasil interaksi mangsa dengan pelbagai faktor yang sukar ditangani. 

"Statistik 2013 menunjukkan lebih daripada 80 peratus kes malaria di Sabah mendapat jangkitan di luar rumah iaitu ketika mangsa melakukan aktiviti-aktiviti di hutan. 

"Antara aktiviti berisiko yang sering dilakukan adalah memburu, mencari hasil hutan, menoreh getah, pembukaan tanah baru untuk perladangan dan pertanian," katanya.

Beliau berkata, aktiviti berisiko di luar rumah itu menyebabkan strategi kawalan vektor sedia ada iaitu menggunakan kelambu berubat dan semburan racun serangga pada dinding rumah kurang berkesan dalam mengawal penyakit malaria.

Ronald menegaskan usaha menangani penyakit itu tidak mampu dilakukan oleh Kementerian Kesihatan sahaja, malah memerlukan sokongan agensi berkaitan termasuk seluruh masyarakat. - Bernama 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GERIK - Wabak malaria yang melanda beberapa perkampungan Orang Asli di Gerik dan Sungai Siput seharusnya diberi perhatian serius semua pihak.
  • SUNGAI SIPUT (U) - Selepas menggemparkan negara baru-baru ini, wabak malaria yang sebelum ini melanda penduduk Orang Asli di Pos Kemar, Gerik kini mula dikesan di Pos Poi, Sungai Siput.
  • GERIK - Kerajaan negeri komited dalam mencari punca berlakunya penularan wabak malaria melibatkan masyarakat Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula Pos Kemar, di sini apabila ada peningkatan kes setiap hari.
  • IPOH - Kira-kira 1,000 Orang Asli di penempatan Pos Kemar, Gerik masih belum menjalani ujian slaid darah untuk mengenal pasti sama ada mereka positif malaria atau sebaliknya.