TENOM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta rakyat di Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang cuba menanam politik kebencian dan adu domba sehingga boleh mengancam keselamatan negara semata-mata untuk kepentingan politik.

Hishammuddin berkata,sekiranya keselamatan di negara ini, khususnya di Sabah, tergugat disebabkan perbuatan pihak tidak bertanggugjawab berkenaan yang menjadikan keselamatan sebagai 'taruhan politik', maka rakyat negeri ini yang akan menanggung akibatnya.

"Sekiranya keselamatan Sabah ini jadi pertaruhan, jadi gadaian, akhirnya kalau pertimbangan mereka silap, yang jadi mangsa nanti ialah rakyat Sabah sendiri yang tidak berdosa. Ini yang berlaku di negara Timur Tengah dan negara tertentu," katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Zon 4 di sini hari ini. Umno Zon 4 merangkumi Umno Bahagian Keningau, Tenom dan Pensiangan.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua UMNO Bahagian Keningau Datuk Sairin Karno, Ketua Umno Bahagian Tenom Datuk Rubin Balang dan Ketua Umno Bahagian Pensiangan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.

Menurut Hishammuddin, pendekatan berpolitik kebencian dan perpecahan yang cuba dimainkan pihak pembangkang di Sabah, termasuk yang pernah berada di dalam kerajaan suatu ketika dahulu, boleh menjurus ke arah perpecahan.

Sebagai contoh, katanya, sentimen Sabah untuk orang Sabah yang ditiupkan pemimpin berkenaan boleh memecahbelahkan dan jelas bermotifkan politik peribadi kerana semasa pemimpin itu berada dalam kerajaan dahulu, tidak pernahpun membangkitkan perkara itu.

"Kalau nak berpolitik pun ada hadnya...ini yang saya ingatkan perwakilan hari ini. Jangan main-main dengan sentimen perkauman, sentimen agama, sentimen berpolitik antara Sabah dan Semenanjung. Dah cukup cantik dah (situasi kita) selama ini.

"...(Sikap) rakus, tamak, ego, marah, teringin nak merampas kuasa dan matlamat menghalalkan cara ini semua amat berbahaya. Kita perlu terangkan kepada orang ramai bahawa tiada parti selain Barisan Nasional yang lebih konsisten merentasi warna kulit dan agama untuk membangunkan dan membela rakyat Sabah ini," tegas Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SANDAKAN - Kematangan ahli Umno Sabah membolehkan parti itu mendepani ujian tanpa menjejaskan perpaduan sesama mereka, baik di peringkat akar umbi mahupun pucuk pimpinan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.