SANDAKAN - Jabatan Hidupan Liar (JHL) menembak seekor buaya yang dikesan di perairan laut berhampiran Kampung Tanjung Batu dekat sini, semalam.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin berkata, tindakan menembak buaya itu diambil atas faktor keselamatan orang awam selepas pihaknya menerima aduan kehadiran buaya di kawasan perairan laut  Karamunting.

Katanya, anggota jabatan itu melepaskan dua das tembakan yang mengenai buaya itu pada jam 1 tengah hari dan 1.30 tengah hari dan dipercayai haiwan itu mati.

Usaha untuk mengesan buaya itu gagal selepas ia terus tenggelam setelah ditembak kali kedua    kerana arus deras dan kawasan perairan laut adalah dalam, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata jabatan itu telah melaksanakan operasi mengesan buaya di kawasan perairan itu sejak  Isnin lepas dan hanya semalam kehadiran seekor buaya dikesan selepas dimaklumkan oleh anggota Angkatan  Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Hussein berkata operasi mengesan buaya di kawasan perairan itu disambung hari ini dan penduduk kampung diminta memaklumkan segera kepada pihaknya sekiranya melihat buaya timbul. - Bernama