SEPANGGAR - Satu jawatankuasa khas akan ditubuh bagi mengendalikan proses kelulusan pembangunan hartanah di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, langkah itu bagi mempercepatkan proses kelulusan membolehkan pembangunan sektor berjalan lancar, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada negeri.

“Kelulusan hartanah tidak lagi akan dibuat di peringkat pusat iaitu menerusi ketua menteri.

“Langkah ini bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan dan sektor hartanah di Sabah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidlifitri Anggota Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata butiran lanjut mengenai penubuhan jawatankuasa itu akan diputuskan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau meminta pemaju kawasan komersil seperti pusat membeli-belah supaya menawarkan kadar sewa kedai yang berpatutan bagi membolehkan lebih ramai peniaga membuka kedai di kawasan berkenaan.

“Beri ruang untuk peniaga. Kalau sewa diturunkan, langkah itu akan menyumbang kepada peningkatan kedatangan ramai pelanggan ke pusat-pusat membeli-belah kerana kuota kedai dipenuhi,” katanya. - Bernama