TENOM - Isu keselamatan Sabah merupakan tugas berat yang perlu digalas kepimpinan kerajaan negeri yang baharu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sebagai parti yang bergabung dengan kerajaan baharu, Upko meletakkan isu keselamatan sebagai perkara penting untuk ditangani.

“Tumpuan kerajaan negeri ialah untuk memastikan keselamatan rakyat terjamin...kita mahu tanah besar Borneo ini, perairan serta persisiran pantai selamat dan kita mahu negeri tercinta ini selamat untuk semua orang termasuk pelancong.

“Ini adalah penekanan kita (Upko), ini adalah tugas berat kita,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat agung tritahunan parti itu di sini, hari ini.

Beliau yang juga pemangku presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) berkata, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sedang melipatgandakan usaha untuk memastikan keselamatan negeri ini terjamin dan ini termasuk memperkasakan kawalan di setiap sudut termasuk perairan negeri ini.

Beliau turut menekankan keselamatan negeri ini sangat penting bagu menjamin keselamatan pelancong untuk melawat Sabah.

Mengenai mesyuarat parti itu, Tangau berkata ahli parti itu mendapat suntikan baharu, yang disifatkannya sebagai kebebasan sepenuhnya selepas tidak lagi terikat dengan kongkongan parti yang lebih dominan yang menerajui kerajaan terdahulu.

Menurutnya, semangat ahli Upko semakin meningkat di semua peringkat, yang menyaksikan parti itu kini mendapat sokongan kuat daripada rakyat, khususnya dalam kalangan bangsa Momogun atau orang asal negeri ini.

Majlis itu turut menyaksikan penyertaan seramai 342 anggota baharu ke dalam Upko. - Bernama