KOTA KINABALU - Sabah perlu mengintegrasi ekonominya secara wilayah  dengan kawasan di bawah Kawasan Pertumbuhan Asean Timur - Brunei/Indonesia/Malaysia/Filipina (BIMP-EAGA) bagi mejadikan ekonomi negeri ini lebih mantap dan dinamik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata integrasi ekonomi yang mantap dan mendalam dengan wilayah-wilayah BIMP-EAGA, akan membolehkan Sabah memanfaatkan segala peluang ekonomi di wilayah-wilayah berkenaan, termasuk bahan mentah, untuk kemakmuran bersama.

"BIMP-EAGA merupakan organisasi yang sudah wujud sekian lama, namun mungkin perlu diberi nafas baharu atau pendekatan baharu kerana bagi saya jika ekonomi Sabah berintegrasi yang kuat dan mendalam dengan Indonesia, Brunei Darussalam dan Filipina, kita mungkin mempunyai lebih banyak peluang yang sebelum ini tidak wujud.

"Kita tahu bahawa di Kalimantan contohnya, mereka mempunyai sumber mineral, minyak, gas, arang batu dan sektor perladangan. Mereka mempunyai asas-asas (ekonomi) yang cukup besar dan mereka belum mempunyai perkhidmatan yang canggih. Mungkin Sabah boleh menggunakan bahan mentah dari Kalimantan ini dalam sektor industri kecil dan sederhana,"katanya.

Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen kawasan Kota Belud berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dengan pengamal media di sini malam tadi.

Katanya integrasi ekonomi Sabah dengan wilayah-wilayah BIMP-EAGA belum cukup mantap seperti Kawasan Pertumbuhan Tiga Segi Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berkemungkinan disebabkan beberapa faktor seperti politik, legasi serta perasaan tidak tenteram atas sebab sejarah dalam BIMP-EAGA.

Bagaimanapun katanya, faktor halangan seperti kebimbangan terhadap lambakan pekerja asing memasuki Sabah, perlu diketepikan kerana perkara itu mungkin tidak akan berlaku lagi memandangkan peluang-peluang pekerjaan di Kalimantan untuk rakyat di negara berkenaan juga sudah cukup banyak.

"Saya mempunyai cadangan untuk membuka satu atau dua bandar sempadan seperti pembinaan jalan raya dari Serudung di Kalabakan ke Kalimantan. Dengan wujudnya jalan itu nanti, aktiviti perniagaan tukar barang juga dapat dipertingkatkan,"katanya.

Menurut Abdul Rahman perniagaan tukar barang menggunakan laut seperti sekarang banyak menimbulkan masalah seperti keselamatan, namun jika ia dijalankan melalui darat, perniagaan itu mudah dikawal melalui pewujudan pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bagi mengawal apa juga barangan masuk dan keluar di sempadan.

Katanya beliau mencadangkan perkara berkenaan kepada Kabinet serta mendapat respon agak baik daripada kerajaan negeri Sabah, namun cadangan itu memerlukan kajian terperinci.

Abdul Rahman berkata melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) beliau juga telah meminta Bank Pembangunan Asia (ADB) mengkaji usaha untuk memantapkan penyatuan ekonomi Sabah dengan Kalimantan, khususnya Kalimantan Utara, selatan Filipina dan Brunei.

"Respon daripada wilayah-wilayah di Kalimantan mengenai (idea integrasi ekonomi) ini positif. Yang diperlukan sekarang ialah lebih banyak lawatan kerja dalam kalangan pemimpin negeri Sabah ke Kalimantan. Saya sendiri akan membuat lawatan ke Kalimantan untuk eratkan lagi hubungan ekonomi antara Sabah dan wilayah utara Kalimantan," katanya. – Bernama


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BELUD - Rakyat di Sabah, khususnya di kawasan yang sering terjejas banjir, perlu membuat persiapan berterusan bagi menghadapi sebarang kemungkinan dilanda bencana itu pada masa akan datang.
  • TUARAN - Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memastikan setiap keputusan yang melibatkan kepentingan serta hak Sabah dan Sarawak dibincang serta diperhalusi secara telus termasuk mendengar pandangan daripada menteri Kabinet dari kedua-dua negeri berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
  • LABUAN - "Perbincangan menyeluruh berkaitan kemungkinan projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan ke tanah besar Sabah dijadual diadakan pada Januari depan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
  • KUANTAN - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan kira-kira RM 1juta bagi menaik taraf kemudahan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK 1), dekat sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.