TAWAU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau menahan 19 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk 18 wanita dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam Op Ikrar (Gegar) di pusat-pusat hiburan sekitar Fajar di sini malam tadi.

Ketua Pejabat JIM Tawau Noraini Rasi berkata Pati yang ditahan itu terdiri daripada 11 wanita Filipina, empat wanita China, dua wanita Vietnam dan masing-masing seorang wanita dan seorang lelaki warga  Indonesia yang diperiksa daripada 81 orang di tiga lokasi pusat hiburan kira-kira 11 malam.

“Lelaki yang ditahan pula dipercayai seorang daripada pengunjung pusat hiburan dan kesemua Pati  ditahan berumur lingkungan 18 hingga 44 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Pati terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

Noraini berkata JIM akan meneruskan serbuan di pusat-pusat hiburan dari semasa ke semasa bagi mengesan kehadiran Pati di daerah ini yang dipercayai berlindung di pusat hiburan dan spa. - Bernama