KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menggesa ahli akademik dan guru supaya mengikuti trend dan inovasi terkini dalam pendidikan bahasa Inggeris bagi memastikan bahasa itu dapat diajar dengan berkesan.

Musa berkata untuk terus maju dalam pengajaran bahasa antarabangsa, mereka yang terlibat dalam bahasa antarabangsa harus mencari jalan dan memperoleh kemahiran yang berkaitan untuk menjadikan pelajaran itu menarik kepada para pelajar.

“Walaupun saya bukan seorang pendidik, (namun) saya percaya pengajaran bahasa Inggeris memerlukan seseorang itu menjadi kreatif dan mempunyai keupayaan menjadikan pelajaran itu menarik terutama dalam bidang di mana bahasa ini tidak digunakan secara meluas.

Keupayaan untuk berkomunikasi secara berkesan dalam bahasa Inggeris adalah penting dalam dunia tanpa sempadan, yang membolehkan kita berinteraksi dengan warga global menerusi pelbagai platform termasuk internet," katanya pada majlis persidangan ke-26 Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) di sini hari ini.

Teks ucapan Musa disampaikan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Sehubungan itu, Musa berkata adalah penting supaya amalan di bilik darjah kekal relevan dengan keperluan generasi muda dan bagi menyesuaikan diri mereka dengan trend global.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita mengabaikan budaya dan norma-norma tempatan dan gagal menyediakan konteks ini apabila menyebarkan pengetahuan. Ini selaras dengan tema persidangan tahun ini, "New Directions in English Language Education: Global Trends and Local Innovations (Hala Tuju Baharu Dalam Pendidikan Bahasa Inggeris: Trend Global dan Inovasi Tempatan) ." katanya.

Mengenai pendidikan di Sabah, Musa berkata satu daripada fokus kerajaan negeri adalah memastikan  pendidikan disediakan untuk kanak-kanak dan lepasan sekolah yang berminat untuk mengikuti pengajian peringkat tinggi dengan bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dalam menangani keperluan pendidikan di seluruh negeri.

Beliau berkata ia termasuk menyediakan pendidikan peringkat rendah di beberapa kawasan  pedalaman  manakala sekolah menengah lebih besar dengan kemudahan asrama dibina di daerah yang mempunyai  komuniti luar bandar yang akan mendapatinya sukar untuk pergi ke sekolah.

Musa mengucapkan tahniah kepada MELTA dan anggota jawatankuasanya atas kejayaan mereka menganjurkan persidangan ini.

"Usaha mendapatkan pendidikan dan berkongsi ilmu pengetahuan menuntut kita untuk tidak  mementingkan diri sendiri, dan sentiasa ikhlas agar lebih banyak orang mendapat manfaat daripada  pembelajaran, dan dalam hal ini pendidikan yang berkaitan dengan bahasa Inggeris,” kata beliau. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Pejabat Risda Daerah (PRD) Dungun berjaya mencipta inovasi terbaharu melalui hasil ciptaan bubu darat sebagai inisiatif kepada pekebun bagi menangkap monyet liar yang merosakkan tanaman getah.
  • KUALA TERENGGANU - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) berusaha membantu golongan pesara berpendapatan rendah melalui projek inovasi pertanian yang akan dilancarkan pada tahun ini.
  • KUANTAN - Tiga penyelidik Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) berjaya menghasilkan mesin pengupas bawang bagi memudahkan pihak industri terlibat.
  • IPOH - Inovasi secara keseluruhannya dilihat berperanan besar dalam bidang pendidikan khususnya dalam proses pengajaran serta pembelajaran hari ini.