LAHAD DATU - Individu yang menjalani ujian saringan bagi mengesan penyakit HIV atau AIDS tidak perlu risau berhubung identitinya diketahui, kata Pegawai Kesihatan Kawasan Lahad Datu, Dr Amirul Hisham Zainol.

Beliau berkata ia kerana Jabatan Kesihatan tidak akan mendedahkan identiti pesakit yang menjalani ujian saringan itu.

"Ujian yang dilakukan adalah percuma dan tanpa nama," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat daerah Lahad Datu di sini, hari ini.

Sambutan itu disempurnakan Pegawai Pembangunan Masyarakat Lahad Datu, Salsagap Pg Masdal yang mewakili Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Dumi Pg Masdal.

Dalam pada itu, Dr Amirul turut menasihatkan golongan yang mengamalkan cara hidup yang berisiko untuk menghidapi jangkitan HIV atau AIDS agar menjalani ujian saringan tersebut di klinik serta hospital kerajaan berdekatan.- Bernama