MIRI – Pelaksanaan gaji minimum baharu RM1,050 sebulan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan tidak akan membawa kepada kenaikan harga barang keperluan di negara ini, menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) cawangan Miri.

Pengerusinya John Teo Peng Yew berkata pemilik perniagaan tidak akan memilih untuk menaikkan harga barang berikutan keadaan ekonomi ketika ini selain sesetengah daripada mereka masih belum pulih sepenuhnya daripada impak penurunan harga minyak pada akhir 2015.

“Pemilik perniagaan akan memilih untuk menyerap perbezaan dalam kenaikan gaji minimum dengan harapan perniagaan mereka tidak akan terjejas,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menyokong keputusan kerajaan berhubung gaji minimum baharu itu, Teo berkata pada awalnya dicadangkan gaji minimum baharu dinaikkan kepada  RM1,200 sebulan tetapi kerajaan persekutuan bersedia menimbangkannya dengan niat untuk tidak membebankan majikan dari segi kewangan.

“MEF, Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH), Dewan Perniagaan dan Perdagangan Cina Malaysia dan lainnya telah menulis kepada kerajaan persekutuan untuk menimbangkan untuk ia lebih rendah dengan mengambil kira keadaan kegawatan ekonomi ketika ini,” katanya.

Teo berkata ketika ini majoriti pekerja di sektor swasta di Sarawak menerima gaji lebih RM1,000 sebulan dengan ada antaranya menerima bayaran lebih tinggi daripada gaji minimum baharu selepas disahkan oleh majikan sebaik sahaja tamat tempoh percubaan.

“Jadi perbezaan untuk menaikkan sebanyak RM50 bagi mereka yang menerima RM1,000 pada ketika ini tidak akan menjejaskan majikan di Sarawak kerana mana-mana penduduk Sarawak yang menerima kurang daripada RM1,000 pada ketika ini akan mendapati sukar untuk menampung kehidupan,” katanya.

Teo, yang juga Setiausaha Agung Kehormat MAH Sarawak berkata pengusaha hotel tidak akan terjejas dengan gaji minimum baharu berikutan sesetengah daripada mereka sudah membayar staf mereka gaji minimum RM1,050.

Ketika ini Perintah Gaji Minimum 2016 menetapkan gaji  RM1,000 sebulan bagi Semenanjung  Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah,Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.  –Bernama