KUALA LUMPUR – Grab, penyedia perkhidmatan pengangkutan e-panggilan di Asia Tenggara, melancarkan pusat pemandunya yang pertama di Kuching, Sarawak sempena ulang tahunnya yang pertama.

Ketua Grab Malaysia bagi bandar luar Justin Tiew berkata Pusat Pemandu Grab (GDC) yang baru itu akan bertindak sebagai pusat sokongan sehenti bagi memenuhi keperluan dan kebajikan rakan pemandu semasa dan bakal pemandu.

“Rakan pemandu kami, sama ada pemandu GrabCar atau GrabTaxi memainkan peranan penting dalam membantu kami memberi khidmat kepada pengguna kami di  Kuching dan bandar berdekatan, dan kami komited untuk memperbaiki kebajikan mereka dengan memastikan platform kami lebih mampan dan bermanfaat.

"GDC yang baru di sini adalah bukti untuk itu dan meletakkan keperluan dan kebajikan mereka sebagai rakan pemandu kami di barisan hadapan perniagaan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pusat pemandu itu menunjukkan sasaran Grab untuk menyediakan  pengalaman rakan kongsi pemandu yang lebih baik, menyediakan latihan yang diperlukan untuk perjalanan lancar yang memberi manfaat kepada kedua-dua pemandu dan penumpang

Antara perkhidmatan yang terdapat di GDC adalah menguruskan pertanyaan harian oleh pemandu semasa dan berpotensi; mengurus pendaftaran pemandu baru, pengesahan mandatori individu serta menjalankan latihan pemandu mandatori dan sesi pendidikan semula untuk semua pemandu.

Grab kini mempunyai lima GDC di Malaysia termasuk yang baru dilancarkan di Kuching.

Maklumat lanjut boleh didapati di  www.grab.com. - Bernama