KOTA KINABALU - Dua lelaki warga asing maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Kolam berhampiran lampu isyarat Bukit Padang, dekat sini  kira-kira 4.30 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20 dan 30 tahun, seorang maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

"Kemalangan melibatkan pertembungan dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Bezza, namun pemandu pacuan empat roda itu hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Beverly Hill dan apabila sampai di lokasi kejadian kenderaan yang dinaiki mangsa yang datang dari arah bertentangan telah terlanggar pacuan empat roda itu dari bahagian depan kenderaan.

George berkata, ketika kejadian keadaan cuaca baik.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh tampil menghubungi mana-mana Balai Polis Trafik yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Traffik IPD Kota Kinabalu, Inspektor Ngang Anak Kalimpot di talian 017-8083272. - Bernama