KOTA KINABALU - Dua kru bot warga asing dipercayai diculik sekumpulan lelaki ketika menangkap ikan di perairan Pulau Gaya, Semporna, tengah malam tadi.

Menurut portal Astro Awani, kedua-dua mangsa berumur lingkungan 30-an diculik dua suspek yang bertopeng dan memegang senjata M16.

Ketika kejadian terdapat empat nelayan berada di atas bot nelayan yang sedang belabuh sebelum penculik hanya melarikan dua daripada mereka.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika ditemui hari ini mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan bahawa siasatan masih dijalankan oleh pihak polis.

"Lebih kurang dalam jam 12 tengah malam, satu kes penculikan telah berlaku di perairan Pulau Gaya melibatkan dua suspek yang membawa senjata M16.

"Dua nelayan ini menaiki sebuah bot telah diculik dan dibawa ke satu tempat sehingga sekarang tidak pasti dimana. Pihak polis masih lagi menyiasat identiti mereka.

"Kita percaya bahawa kes penculikan ini mempunyai kaitan dengan kumpulan penculikan untuk tebusan (KFR). Namun, setakat ini kami belum menerima apa-apa permintaan dari mana-mana pihak untuk menuntut wang tebusan," katanya.