LAHAD DATU - Tindakan dua lelaki Palauh menangkap 32 kilogram pelbagai jenis ikan menggunakan bahan letupan menerima padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu di kawasan Laut Katung Kalungan, petang semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Datuk Hazani Ghazali berkata, dua lelaki berumur 17 dan 48 tahun itu ditahan Unit Risik  Marin yang membuat intipan dalam penugasan OP Landai pada 5 petang.

“Siasatan awal mendapati suspek mengakui menangkap ikan menggunakan bom ikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu, katanya PPM turut merampas pelbagai barangan untuk mengebom ikan termasuk  batang shaft, kompresor, hos, sumbu peledak dan manci.

Beliau berkata tahanan dan barang rampasan diserah ke Jabatan Perikanan Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)© Akta Perikanan 1985. - Bernama