TAWAU – Dua lagi pos gabungan bersama melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di sempadan Sabah akan ditambah dalam tempoh terdekat ini bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Malaysia dan Indonesia.

Dua pos gabungan yang dikenalpasti dilaksanakan adalah Pos Serudong dan Pos Saliliran yang terletak di Sabah.

Panglima Markas 5 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Anuar Rijaludin berkata pelaksanaan perkara itu bertujuan untuk menangani elemen jenayah termasuk masalah  penyeludupan  serta  kemasukan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia.

"Penubuhan pos gabungan itu juga dapat merapatkan hubungan antara ATM dan TNI melalui rondaan bersama.

"Kita akan terima 10 anggota TNI untuk bersama dalam satu pos (di Malaysia) dan membuat rondaan di kawasan persekitaran yang dikenal pasti,  begitu juga sebaliknya kita menghantar 10 anggota duduk di pos sana (Indonesia)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  menyempurnakan  penutupan Patroli  Terkoordinasi (Patkor) siri 1/2018 antara ATM-Tentera Darat Malaysia dan TNI-Angkatan Darat di Pos Serudong dekat sini.

Dalam pada itu, Mohd Anuar berkata Patkor melibatkan platun daripada Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) serta Batalion Infanri Raider 613/Raja Alam bergabung tenaga melaksanakan rondaan batu sempadan (patok) mulai Pos Gabungan Bersama Simanggaris, Indonesia sehingga ke Pos Serudong, Malaysia.

"Rondaan perjalanan selama enam hari melibatkan jarak sejauh 24 kilometer itu berjaya memeriksa 276 patok selain mendedahkan kepada askar laskar kedua-dua negara ilmu di lapangan.

"Selain meningkatkan kemahiran dan kecekapan anggota dalam melaksanakan tugas dalam menjaga perbatasan negara," katanya.

Menurutnya aktiviti Patkor seterusnya akan diadakan pada bulan November di kawasan tanggungjawab 9 Briged, Op Jagakawan, Sarawak seperti dibincangkan dalam mesyuarat unit komander (UCM).

Selain itu, Mohd Anuar berkata rancangan  pertemuan atara kedua-dua pegawai memerintah akan dilaksanakan sekurang-kurangnya  tiga bulan sekali untuk membincangkan sebarang masalah mungkin timbul  di sepanjang perbatasan Malaysia-Indonesia.

"Usaha murni ini juga perlu dikembangkan meliputi perkongsian maklumat, pendapat serta pengetahuan dalam menjaga perbatasan dari dicemari anasir jenayah yang menjejaskan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah bagi satuan tugas pengamanan perbatasan Indonesia-Malaysia, Letkol Infanri Fardin Wardhana berkata tugas rondaan bersama merupakan kerjasama baik dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa kerana impak positifnya dalam mengawal keselamatan dua negara dari dibolosi elemen jenayah.- Bernama