KECOH sebelum ini seekor kucing bunting dibunuh dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi oleh individu yang tidak berperikemanusian itu sehingga membangkitkan kemarahan ramai.

Namun, dalam satu kejadian yang berlaku di Kuching, Sarawak, seorang insan berhati mulia maut dalam kemalangan ketika menunggang motosikalnya sambil membawa kotak berisi beberapa ekor kucing jalanan yang diselamatkan.

Insiden yang berlaku itu tular di media sosial apabila kucing-kucing tersebut selamat, tetapi 'si penyelamatnya' meninggal dunia selepas terbabas dan terlanggar pembahagi jalan di Kuching, Sarawak pada Jumaat.

Perkara itu dikongsikan di Facebook Kelab Kucing Jalanan Sarawak dan memaklumkan Allahyarham Abdul Kadir Bujang, 57, meninggal dunia dalam kemalangan di Bulatan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Jalan Semariang, Kuching.

“Perginya salah seorang penyelamat pusak (kucing) pagi tadi, Pakcik Abdul Kadir Bujang akibat daripada kemalangan di bulatan DBKU mengejutkan dan menyentuh hati kita semua.

“Admin difahamkan kucing yang diselamatkan Pakcik Abdul Kadir berada di dalam kotak masih hidup. Admin cuma nak tahu apa status kucing-kucing semua. Dah diambil orang atau macam mana,” menurut kenyataan pengendali kelab itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dua rakan didakwa bunuh kucing]

Kelab Kucing Jalanan Sarawak turut melancarkan kutipan derma kilat bagi meringankan beban keluarga Abdul Kadir yang dikatakan bekerja sebagai pencuci kereta dan motosikal.

Sementara itu, memetik laporan mStar, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu mengesahkan mangsa dikenali sebagai Abdul Kadir Bujang, 57, dan berasal dari Kampung Semariang Tanah Merah.

Kucing yang telah diselamatkan. Gambar kecil: Abdul Kadir. Foto: Facebook Kelab Kucing Jalanan Sarawak.

Katanya, kemalangan berlaku kira-kira jam 8.55 pagi melibatkan sebuah motosikal yang terbabas sendiri di bahu jalan lalu melanggar pembahagi dan jatuh di sebelah bulatan tersebut.

“Ketika polis tiba di tempat kejadian, selain mangsa, yang ditemui adalah motosikal dan topi keledar serta barangan peribadi seperti dokumen pengenalan.

“Kami tidak menjumpai kotak mengandungi kucing di tempat kejadian. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang tersebar di media sosial, kotak tersebut ditemui bersama mangsa oleh orang awam di situ,” katanya.

Alexson berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) di tempat kejadian, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1988.

Dalam pada itu, rata-rata netizen mengucapkan takziah di atas pemergian Abdul Kadir yang disifatkan seorang insan berhati mulia kerana sering menyelamatkan kucing jalanan.

Antaranya, An Tailor, mengucapkan al-Fatihah kepada arwah dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempat di kalangan orang yangg beriman dan turut meletakkan  #penyelamatkucing.

Andry Augustine Nyuwep pula berkata, kucing-kucing yang pernah diselamatkan oleh pakcik ini akan berdoa bagi pakcik di akhirat kelak.

Sehingga petang tadi halaman tersebut terus dihujani ucapan takziah.  

Dalam pada itu, netizen juga memaklumkan kucing berkenaan telah diambil oleh orang awam.