KUCHING – DAP Sarawak sanggup menyediakan khidmat guaman bagi membantu pemimpin masyarakat yang ingin mendapatkan semakan kehakiman berhubung arahan kerajaan negeri yang menyekat mereka daripada menghadiri acara atau program kerajaan persekutuan, kata Pengerusinya Chong Chieng Jen.

"Jika ada mana-mana pemimpin masyarakat yang bersedia tampil untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan negeri kerana melakukan tindakan bersifat tidak bertanggungjawab dan menghina itu, DAP Sarawak akan sediakan khidmat guaman secara percuma," kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

Chong berkata tindakan kerajaan negeri memberi arahan itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia menyekat kebebasan dan pergerakan pemimpin masyarakat.

"Itu hak asasi mereka, maka janganlah layan mereka seperti kanak-kanak sekolah atau manusia yang tidak mempunyai harga diri," kata Chong pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian menyelar kerajaan negeri kerana  memberi arahan tersebut kepada pemimpin masyarakat.

Chong berkata arahan kerajaan negeri itu tidak masuk akal serta suatu penghinaan terhadap pemimpin masyarakat dan menggesa kerajaan negeri supaya menunjukkan rasa hormat kepada ketua kaum dan ketua masyarakat, yang bertindak sebagai penghubung antara rakyat dan agensi kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menarik balik arahan itu demi kebaikan rakyat dan negeri ini.

Arahan berkenaan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani melalui memo bertarikh 11 Oktober 2018.

Arahan itu menyebut, "adalah dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memutuskan bahawa ketua masyarakat dan ketua kaum adalah tidak dibenar untuk menyertai atau menghadiri majlis dan program yang bukan dianjurkan oleh kerajaan negeri atau badan yang diluluskan dan sebarang keraguan hendaklah dirujuk kepada Residen atau Pejabat ini". – Bernama