MIRI - Polis menahan seorang lelaki serta merampas dadah dianggarkan bernilai RM70,000 dalam serbuan di Terminal Bas Pujut pada 2 petang, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Miri Deputi Superintendan Aldrin Junaidi Kutoi berkata ketika serbuan dilakukan, suspek berumur 24 tahun dilihat berkelakuan mencurigakan sambil membawa satu kotak dari kaunter kargo bas menuju ke arah keretanya.

“Apabila suspek ditahan pemeriksaan menjumpai satu paket lutsinar berisi serbuk  dadah dipercayai jenis ketamine dengan berat kasar 500 gram bersamanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek yang juga seorang penganggur itu dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri dan ujian awal air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. - Bernama